Sabtu, 17 Maret 2012

Asas tenaga nuklear disebut dalam al-Quran

 
KERADIOAKTIFAN telah wujud secara semula jadi, tetapi perkara itu tidak diketahui sehinggalah akhir kurun ke-19, sedangkan di dalam al-Quran, sudah ada satu surah dikenali al-Hadid, yang memperkatakan mengenainya.

Istilah al-Hadid merujuk kepada logam besi. Di dalam keadaan semula jadi, besi wujud sebagai satu sebatian dengan logam dan galian lain, antaranya logam radioaktif seperti uranium, plutonium dan radium.

Apa yang menarik ialah firman Allah dalam ayat 25 Surah al-Hadid yang bermaksud: Pada besi itu, terdapat kekuatan yang amat kuat yang boleh memusnahkan manusia."

Kejadian letupan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki membuktikan kebenaran ayat ini sebagai bukti kekuasaan Allah yang menjadikan pada besi itu kekuatan yang terlalu besar. Setengah kilogram uranium dapat menghasilkan tenaga haba satu megawatt sehari. Bayangkanlah, jika sebuah negara itu mempunyai berjuta tan uranium yang disimpan untuk tujuan peperangan nuklear.

Hakikat keradioaktifan hanya diketahui pada akhir kurun ke-19 membabitkan dua perkara besar yang berlaku ketika itu, yang membenarkan penemuan radioaktif. Pertama, sinar-X yang ditemui pada 1985 oleh Wilhem Konrad Rontgen, yang didapati berupaya menghasilkan pendarflour pada kaca tiub sinar-X. Kedua, kajian oleh Henri Becquerel, yang mendapati bahawa, apabila kalium uranil sulfat diuja oleh sinaran ultra ungu, ia akan menghasilkan pendarflour.

Pengetahuan selanjutnya mengenai keradioaktifan diperluaskan oleh Pierre dan Marie Sklodowska Curie pada 1989. Marie Curie mendapati sinaran uranium yang dilaporkan oleh Becquerel juga boleh didapati daripada garam torium. Dalam kajiannya, suatu unsur baru yang menghasilkan keradioaktifan yang tinggi dijumpai daripada proses pemisahan menggunakan bijih uranium hingga mewujudkan satu sinaran yang sama sifat dengan sinar-X.

Kajian Earnest Rutherford mengenai daya penembusan sinar radioaktif, menunjukkan wujud tiga jenis sinaran, iaitu yang dapat diserap oleh kepingan alumunium nipis dinamakan alfa (a), yang dapat diserap oleh beberapa kepingan alumunium ialah beta (B), manakala yang tidak diserap dalam kedua-kedua bahan sebagai gamma (Y).

Sejak itu, pelbagai jenis kajian dilakukan oleh saintis untuk memahami sinaran radioaktif. Sifat sinaran seperti cas dan jisim diukur. Kini, sifat bahan dan sinaran radioaktif boleh diketahui dan difahami melalui beberapa kaedah dan teori tindak balas nukleus, tindak balas antara sinaran dan jisim, dan pereputan radioaktif hingga dapat menerangkan hampir segala fenomena yang ditemui.

Apabila stesen kuasa nuklear pertama dibuka pada 1950-an, teknologinya dianggap sebagai salah satu pencapaian besar dalam sains moden. Hari ini, banyak orang berpendapat, usaha membuat kuasa nuklear adalah kesilapan yang akan menimbulkan masalah besar bagi planet dan manusia. Namun, dengan pengendalian berhati-hati, ia boleh memberi manfaat.

Sebenarnya, masih ada harapan kuasa nuklear digunakan secara selamat dan terkawal. Kuasa ini banyak kegunaannya dalam bidang perubatan. Kemajuan berterusan bermakna kita boleh mengesan dan merawat penyakit serius termasuk barah.

Banyak perkara menakutkan mengenai tenaga nuklear. Sesetengah orang menyebutnya sebagai 'tenaga yang bukan semulajadi', sungguhpun cahaya dan haba yang diterima setiap hari daripada matahari, adalah hasil tindak balas termonuklear.

Kita harus benar-benar memahami sifat tenaga nuklear dan teknologi moden yang digunakan untuk memanfaatkannya. Kita harus belajar daripada kesilapan lalu dan jangan membiarkan rasa takut menghalang kemajuan. Satu perkara yang pasti ialah, kita sekarang hidup dalam apa yang dikatakan sebagai 'zaman nuklear'.

Jantung sebuah stesen kuasa nuklear terletak pada reaktornya. Berlaku satu tindak balas pembelahan nuklear terkawal yang menghasilkan banyak haba. Haba ini dibawa jauh oleh satu bahan pendingin yang beredar melalui teras reaktor dan digunakan untuk menjana stim dan kemudian memacu turbin untuk menjana tenaga elektrik.

Kuasa nuklear menghasilkan 15 peratus kuasa elektrik yang dijanakan di dunia. Pada sesetengah negara, reaktor penyelidik hanya menyediakan sedikit sumbangan pada bekalan elektrik. Pada negara lain pula, kuasa nuklear adalah sumber tenaga elektrik yang utama. Pada stesen kuasa elektrik, satu tan uranium yang digunakan sebagai bahan api untuk reaktor nuklear, menghasilkan sama banyak tenaga dengan 20,000 tan arang batu yang dibakar.

Selepas keghairahan awal tentang tenaga nuklear berkurangan, kita sedar bahawa kuasa ini memerlukan kawalan yang berhati-hati dan mahal bagi memastikan keselamatan awam di samping beberapa masalah jangka panjang. Sumber lain, terutamanya pembakaran bahan fosil, mempunyai masalah tersendiri. Lagipun, bahan api fosil tidak kekal dan mungkin akan kehabisan menjelang pertengahan abad akan datang. Jika kita mahu terus menggunakan tenaga, maka kita terpaksa bergantung kepada sumber alternatif.

Kuasa nuklear adalah salah satu alternatif yang mempunyai potensi untuk digunakan. Namun, kita harus mengambil langkah selamat untuk memastikan tidak berlaku kesan sampingan tidak diingini. Kegunaan sinaran dalam bidang lain agak kurang menimbulkan perbalahan, terutama dalam bidang perubatan. Tiada sesiapapun yang boleh mengenepikan kemajuan diagnosis dan rawatan yang dicapai oleh perubatan nuklear.


Related Posts

Asas tenaga nuklear disebut dalam al-Quran
4/ 5
Oleh